Tuesday, March 26, 2013

Tutup akaun Instagram


Tutup akaun Instagram
Pelakon, Zain Saidin, memutuskan untuk menutup akaun Instagram miliknya gara-gara tertekan dengan sikap sesetengah pihak yang suka memberi komen negatif terhadap fotonya bersama Rozita Che Wan, yang dimuat naik ke laman sosial bergambar terbabit. 

Tidak tahan dengan sikap peminat yang gemar menghamburkan kata-kata berbentuk cercaan terhadap kekasih hatinya, Zain berasakan tindakannya itu keputusan terbaik, daripada membalas komen mereka. 


Puncanya, apabila Zain memuat naik sekeping gambarnya bersama pelakon yang mesra dengan panggilan Che Ta itu, baru-baru ini, yang mengundang komen negatif peminat terhadap Rozita apabila dia mengenakan skirt pendek dalam gambar itu. 


“Ada yang menyarankan kepada saya supaya sekat saja peminat berkenaan daripada memberikan sebarang komen. Daripada saya sekat seorang demi seorang, lebih baik saya tutup saja akaun ini. 

“Tujuan saya adalah untuk berkongsi gambar dengan peminat, tetapi tidak menyangka pula mengundang ketidakpuasan hati mereka. Ada yang memberi komen berbentuk nasihat agama, itu saya tak kisah, tetapi komen yang diberikan agak keterlaluan,” katanya. 

Apabila ditanya, adakah tindakannya itu demi untuk mempertahankan Rozita, Zain berkata, ia dilakukan demi kebaikan semua. 

Disatukan selepas Aidilfitri 
Sementara itu, walaupun belum mempunyai sebarang tarikh sah untuk bernikah, Zain membayangkan mereka berdua mungkin disatukan sebagai suami-isteri selepas Aidilfitri nanti. 

“Setakat ini belum ada sebarang pertemuan atau perbincangan antara kedua-dua pihak. Tetapi, emak saya sendiri tiada masalah dengannya dan menerima Rozita seadanya. 

“Daripada membiarkan semakin banyak fitnah serta VVIP yang dikaitkan dengannya, termasuk Datuk, Tan Sri dan sebagainya, lebih baik dilangsungkan tahun ini juga. Kami belum berbincang mengenai majlis ini, namun kalau ikutkan, dia memang tak mahu bertunang dan bersanding,” katanya. 

Diterima anak Che Ta 

Walaupun 13 tahun perbezaan umur di samping status Rozita yang bergelar janda beranak dua, namun ia tidak menghalang perhubungan intim dua pelakon ini. Malah, Zain juga amat selesa dengan anak-anak Rozita, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15. Kehadirannya dalam keluarga Rozita turut diterima dua anaknya itu. 

Zain turut menegaskan dia tidak akan menghalang Rozita untuk terus berlakon selepas mereka disatukan kelak. 

“Saya ada cakap padanya, kalau sekarang semua tanggungjawab keluarga diletakkan di bahunya, selepas ini dia dapat menumpukan pada kerjaya dan keluarga tanpa perlu bekerja keras,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Oh My English! musim kedua di Sekolah Wawasan, Subang Jaya baru-baru ini. 

Masih dikekalkan dalam drama 20 episod berbentuk pendidikan itu sebagai Cikgu Henry Middleton, Zain berasakan musim kedua lebih menarik kerana turut menyelitkan konflik percintaan antara Henry, Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) serta penampilan khas, Gabriella Robinson. 

Selain Oh My English! pelakon berusia 29 tahun ini juga sibuk dengan program realiti masakan, Masterchef Selebriti, bersama kekasihnya.


sumber-

Next Previous Home

0 ulasan:

Post a Comment