Najib rasmi LIMA 2013, kesal pencerobohan pengganas di Sabah
Kelihatan krew dari jet pejuang Eurofighter Typhoon membuat pemeriksaan rapi ke atas jet menjelang LIMA 2013, semalam. Gambar Hiasan
LANGKAWI - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan satu daripada pameran pertahanan terkemuka dunia dan menyatakan rasa kesalnya bahawa beliau terpaksa melakukannya di bawah mendung suasana pencerobohan pengganas di Sabah.

"Ini pertama kali pasukan keselamatan dikerah bertugas di bumi Malaysia sendiri sejak 1989," katanya semasa merasmikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 2013) di sini.


Tahun 1989 menyaksikan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia lantas menamatkan ancaman pengganas komunis di negara ini.


Berkongsi rasa dengan para perwakilan dan pegawai tentera negara ini dan luar negara di LIMA 2013, Najib berkata beliau pernah berkhidmat sebagai menteri pertahanan, sebagai timbalan perdana menteri dan kini perdana menteri dan telah berucap pada pameran ini dan yang serupa dengannya, tetapi ini pertama kali beliau menyampaikan ucapan sebegini ketika negara menghadapi ancaman pengganas Sulu di Sabah.


Sejak enam minggu lalu insiden itu telah menjadi ancaman keselamatan terbesar negara sejak berakhirnya pemberontakan komunis, katanya.


Beliau berkata keputusan-keputusan itu memang sukar dibuat kerana melibatkan kemungkinan kehilangan nyawa dan penghantaran sumber negara tetapi "ia tidak mencukupi untuk mempersiapkan kita berdepan dengan situasi seperti yang berlaku di Sabah."

"Apa yang sepatutnya cuma langkah berkawal bertukar menjadi operasi dengan anggota pasukan keselamatan masing-masing komited dalam usaha melindungi kedaulatan negara," katanya.

Perdana menteri mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang berkhidmat di Sabah, yang menggunakan kemahiran dan profesionalisme mereka untuk menamatkan apa yang disifatkannnya boleh menjadi peristiwa diplomatik.

"Saya menggesa anggota tentera lelaki dan dan wanita yang kini bertugas di Sabah supaya sentiasa bersiap siaga dan berwaspada. Doa kami sentiasa mengiringi anda semua.

Pengorbanan anggota keselamatan negara dalam memerangi penceroboh bersenjata ini amat tidak ternilai harganya," katanya.

Najib berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan anggota keselamatan diberikan kelengkapan terbaik yang termampu diberikan negara dan bagi membuktikan nyawa anggota yang terkorban dalam melindungi kedaulatan negara tidak gugur dengan sia-sia. 

"Saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan terhadap wira kami yang gugur daripada pasukan polis dan tentera yang telah menggadai nyawa dalam menunaikan tugas dan tangggungjawab terhadap negara, serta dalam memastikan keselamatan Malaysia terpelihara. Anda tidak akan dilupai," katanya.

Mengenai LIMA 2013, Najib berkata program pemodenan ketenteraan terus merangsang perbelanjaan dalam Asean.

"Pemerolehan kapal dan pesawat, pesawat pengesan dan kenderaan perisai akan terus menjadi fokus pemerolehan di rantau ini dan dijangka membentuk perbelanjaan utama pemerolehan pertahanan sehingga 2020.

"Menurut (penerbitan pertahanan) Jane's, negara-negara Asia Tenggara meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka sebanyak 13.5 peratus tahun lepas dan buat pertama kali perbelanjaan ketenteraan Asia melebihi yang dirancang Eropah," katanya.

Najib berkata berlatarbelakangkan ini, LIMA 2013 bakal menjadi pintu masuk bagi pasaran bertenaga ini.Mengenai segmen aeroangkasa, Najib berkata industri itu akan membangun secara signifikan dalam beberapa tahun akan datang dengan peningkatan besar dalam perjalanan udara, pelaburan infrastruktur dan dasar-dasar baru.

Beliau berkata Malaysia, melalui Majlis Aeroangkasa Malaysia telah berjaya mengemudi pembangunan industri aeroangkasa, dengan jumlah dagangan kini bernilai RM30 bilion berbanding RM8.2 bilion dalam tahun 1998, dan melibatkan lebih 230 syarikat yang aktif dan tenaga kerja seramai 65,000 orang.

Selepas ucapan itu, Najib dan kira-kira 500 anggota perwakilan menadah doa terhadap keselamatan Malaysia, terutama keselamatan dan kesejahteraan anggota pasukan keselamatan di Sabah. - Bernama