Bukan saja Fasha Sandha yang teruja menantikan kelahiran bayi sulungnya, tetapi perasaan itu turut dikongsi Nora Danish. Sebagai seorang yang pernah melalui detik itu, Nora berkata, dia memahami perasaan Fasha yang kini sarat serta menghitung hari untuk melihat zuriatnya lahir ke dunia.
Bertemu pelakon berdarah kacukan Melayu Myanmar ini pada majlis pratonton filem lakonannya, Dua Kalimah, di Bandar Sunway malam kelmarin, Nora mengharapkan Fasha dipermudahkan apabila bersalin kelak.
Anak halang Nora kahwin
Mungkin akan ada yang mempertikaikan keikhlasan Nora apabila membaca ucapan diberikannya. Maklum sajalah, pasti ramai yang masih ingat peristiwa hitam membabitkan mereka. Namun bagi Nora, apa yang berlaku semuanya sudah menjadi sejarah dan tidak perlu diungkit lagi.
“Saya sudah anggap dia macam kakak sendiri. Kadang-kadang, kami akan berjumpa jika dia dan Jejai datang ke rumah menghantar Rayqal. Bagi mengelakkan kekeliruan, saya turut memberitahu Rayqal bapanya kini sudah berkahwin dengan Fasha, dan itulah sebabnya kami tidak tinggal bersama. Saya menunjukkan majlis perkahwinan mereka di YouTube.
“Yang lucunya, Rayqal tidak bagi saya berkahwin lain hanya kerana dia mahu saya menemaninya tidur,” cerita Nora mengenai gelagat anak tunggalnya.
Tak serik berumah tangga
Terlanjur bercerita soal jodoh, Nora sekali lagi menegaskan dia tidak pernah menutup pintu hati untuk menerima kehadiran lelaki lain. Baginya, tiada istilah serik untuk kembali berumah tangga.
“Saya tak nafikan ada juga berkenalan dengan beberapa lelaki. Sekadar berkenalan saja, tetapi buat masa ini saya memang tidak mahukan komitmen kerana saya mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya lakonan.
“Jika saya mengambil keputusan berkahwin sekarang, tentunya pergerakan saya terbatas. Lagipun saya lebih suka fokus pada rumah tangga kalau sudah berkahwin, sama seperti saya lakukan sebelum ini,” kata Nora lagi.
Menyimpan cita-cita untuk duduk di kerusi pengarah, Nora berkata, berbanding sutradara wanita lain, minatnya lebih kepada arahan klip video.
“Minat ke arah itu sudah lama. Jika dengar sesebuah lagu, dalam otak saya sudah membayangkan konsep muzik videonya. Insya-Allah, saya harap impian itu akan menjadi kenyataan,” katanya.
sumber- bharian
0 ulasan:
Post a Comment