Tuesday, March 26, 2013

LIMA 2013 Bakal Saksikan Jet Pejuang Rafale International

Jet Pejuang Rafale International

Ramai yang pastinya tertunggu-tunggu Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2013 (LIMA 2013) yang bakal berlangsung minggu ini. Ia akan dibuka kepada pelawat perniagaan (trade visitors) dari 26hb Mac sehingga 30hb Mac, manakala orang ramai boleh menyaksikan pameran pada 29 dan 30 Mac 2013. Antara yang menarik yang bakal disaksikan nanti termasuklah persembahan oleh pesawat-pesawat pejuang “Dassault Rafale” dari Rafale International iaitu pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) mempunyai sayap delta, berenjin kembar dan lincah.Syarikat Rafale International pastinya ingin menggunakan kesempatan dari LIMA 2013 ini memancing pembeli, sekaligus mempamerkan kehebatan pesawat pejuang ini.

Apa yang menarik perhatian rakyat Malaysia mengenai pesawat-pesawat pejuang “Dassault Rafale“  ini adalah spekulasi yang menyatakan TUDM bakal menggunakan pesawat ini bagi menggantikan MiG 29N Fulcrum yang bakal dipencenkan pada tahun 2015. RAFALE International (Rafale), syarikat usahasama yang diwujudkan oleh Dassault Aviation, Snecma (Kumpulan Safran) dan Thales bagi mempromosikan pesawat pejuang Rafale dikatakan sudah menghantar cadangan kepada Kementerian Pertahanan mengenai pembekalan pesawat itu bagi menggantikan MiG-29N.

Dalam masa yang sama, syarikat ini juga dikatakan telah berbincang dengan beberapa rakan industri tempatan mengenai program usaha sama berkaitan pemindahan teknologi pembuatan pesawat di negara ini. Naib Presiden Eksekutif Dassault Aviation dan Pengarah Urusan Rafale International, Eric Trappier berkata, pihaknya sudah merangka satu program kerjasama komersial dan industri yang akan menyumbang kepada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menerusi kerjasama jangka panjang dengan rakan kongsi strategik di negara ini.

Beliau berkata, kerjasama di bawah program itu bukan saja terhad kepada syarikat besar, tetapi turut meliputi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpeluang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan Rafale membabitkan pembuatan komponen jet pejuang atau aplikasi berkaitan. Rafale International juga pada bulan Julai 2012 lalu menandatangani perjanjian Surat Hasrat Dalam Kerangka Program Kerjasama yang bakal diwujudkan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), sejajar dengan kehendak Kementerian Pertahanan bagi pembelian pesawat pejuang untuk TUDM pada masa depan.

Setakat ini dikatakan belum ada pembelian bagi pesawat dari Syarikat Rafale International ini. Akan tetapi negara India dan Jerman dikatakan telah berminat. Namun, apa yang pasti, Syarikat Rafale International pastinya akan menggunakanLIMA 2013 sebagai medan menarik pelanggan-pelanggan membeli pesawat mereka nanti.

Next Previous Home

0 ulasan:

Post a Comment