Saturday, April 6, 2013

Dira Tidak Merajuk Selepas Kontroversi


Pelakon Dira Abu Zahar tidak merajuk atau melarikan diri dalam industri seni selepas kontroversi pergaduhan dengan seorang wanita di sebuah pusat hiburan yang dikaitkan dengannya setahun lalu.
Dira atau nama sebenarnya Khaidirah Abu Zahar, 29, berkata, sepanjang tahun lalu dia banyak menghabiskan masa kerana menyambung pelajaran, keluarga dan penulisan skrip.
“Saya tidak pernah merajuk atau sembunyi selepas kontroversi itu, saya senyap setahun ini kerana sibuk dengan pelajaran dan keluarga serta anak yang sudah bersekolah.
“Saya tidak pernah berniat untuk lari apatah lagi berhenti daripada bidang seni ini,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Dahlia, di sini, Jumaat.
Pada awal tahun lalu, Dira dikaitkan dengan dakwaan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kontroversi.
Dia didakwa mencederakan seorang wanita selepas berlakunya salah faham di antara mereka dalam pusat hiburan terbabit.
Bagaimanapun, jelas Dira kontroversi tersebut banyak memberi pengajaran buat dirinya.
“Ya… Ia banyak beri pengajaran dalam kehidupan saya terutamanya pandangan masyarakat, tapi saya tidak pernah peduli apa mereka fikir tentang saya.
“Saya tidak tahu dari segi tawaran berlakon saya berkurangan atau tidak kerana selepas kontroversi itu saya memang sibuk dan tidak ambil mana-mana tawaran yang memerlukan komitmen yang tinggi,” katanya.
Tambah Dira, dia lebih selektif dalam pemilihan watak dan terpaksa membahagi masa antara kerjaya, pembelajaran dan keluarga.
“Saya ada setahun lagi untuk tamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam jurusan Filem dan Televisyen di Universiti Lim Kok Wing.
“Insya-Allah saya berazam untuk jadi pengarah dan penerbit satu hari nanti, buat masa ini masih lagi belajar sedikit-sedikit dalam kerja penerbitan dan penulisan skrip,” katanya.
Dalam pada itu, Dira yang bakal membawa watak Dahlia dalam drama Dahlia siaran Mustika HD (134) di Astro ini menganggap ia sebagai hadiah buat peminat yang menunggu kemunculan semulanya.
“Ramai yang tanya tentang perkembangan saya dan nak tengok saya di televisyen, jadi ini adalah hadiah saya buat mereka.
“Pada awalnya memang keberatan untuk terima kerana ia 40 episod namun disebabkan saya kini sedang bercuti semester saya terima tawaran ini,” katanya.
Drama Dahlia akan mula bersiaran di Saluran 134 bermula 22 April ini, pada setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10 malam. 

Next Previous Home

0 ulasan:

Post a Comment