Polis bersedia mengiringi guru yang ingin memantau pergerakan pelajar ponteng sekolah bagi memastikan keselamatan mereka.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul
Rahim Hanafi berkata, polis hanya akan berbuat demikian jika pihak
sekolah meminta bantuan kerana polis tidak mempunyai kuasa mengambil
tindakan undang-undang terhadap pelajar yang ponteng sekolah.
Beliau berkata hanya pihak sekolah
mempunyai kuasa penuh mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar
berkenaan termasuk melaksanakan garis panduan bagi membanteras gejala
itu.
"Lebih penting, ibu
bapa sepatutnya memainkan peranan utama mendidik anak-anak mereka
daripada terjebak dalam salah laku sosial, bukan melepaskan
tanggungjawab kepada pihak sekolah," katanya kepada pemberita selepas
menyerahkan watikah pelantikan pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan
Georgetown di Batu Lanchang, hari ini.
Abdul
Rahim berkata, polis juga menubuhkan pasukan pegawai perhubungan polis
di seluruh sekolah negeri ini bagi membantu mewujudkan persekitaran
selamat dan bebas jenayah dalam kawasan sekolah.
"Pasukan itu melibatkan anggota polis berpangkat pegawai atau sarjan.
Setakat ini kita menerima kerjasama yang baik daripada Jabatan Pelajaran negeri termasuk guru-guru," katanya.- Bernama
0 ulasan:
Post a Comment