Kuala Lumpur - Filem Bunohan meraih tiga anugerah daripada sepuluh pencalonan pertama pada majlis pembukaan Filem Festival Malaysia (FFM) Ke-25 semalam.
Filem arahan Dain Iskandar Said itu berjaya meraih Anugerah Skor Muzik Asal Terbaik yang diterima Imaginex studio bagi pihak mendiang Yuan Tan Tan Wei, Anugerah Penataan Bunyi Terbaik (Raja Ahmad Shaidaley dan Imaginex) dan Penataan Seni Terbaik (Dain Iskandar Said).
"Saya tidak menyangka kemenangan hari ini, setiap filem memberi yang terbaik dalam pembikinan filem mereka, kemenangan hari ini merupakan hasil kerjasama produksi yang gigih dan berusaha untuk filem Bunohan," kata Dain.
Majlis pelancaran FFM ke-25 dirasmikan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.
Pemenang menerima trofi dan wang tunai dari RM10,000 hingga RM15,000 mengikut kategori yang dipertanding.
Anugerah Perdana FFM ke-25 bakal berlangsung Sabtu ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan festival anjuran Finas itu bakal menyaksikan 19 lagi kategori dicalonkan.
Antara kategori itu ialah Anugerah Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Antara filem yang dipertanding ialah Ombak Rindu, Songlap, Bunohan, 29 Februari, SAM, Jiwa Taiko dan Hoore! Hoore!.
Kategori yang menjadi tumpuan ramai ialah Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.
Untuk kategori Pelakon Lelaki, antara yang tercalon ialah Faizal Hussein, Shaheizy Sam, Pekin dan Zahiril Adzim manakala Maya Karin, Nadiya Nisaa, Vanidah Imran, Sara Ali dan Farah Nazirah bersaing untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik.
SUMBER
-RTM
0 ulasan:
Post a Comment