Saturday, April 27, 2013

PRU13: Pendirian Parti Politik Sepatutnya Senada Berhubung Isu Keselamatan Negara


Ipoh - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pendirian parti-parti politik di negara ini sepatutnya senada berhubung isu keselamatan negara termasuk ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna baru-baru ini. Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap sikap pembangkang berhubung kejadian di kedua-dua daerah itu, Perdana Menteri berkata di negara luar, kesemua parti politik, tidak kira kerajaan atau sebaliknya (pembangkang) mempunyai pendirian yang sama.

"Dalam keadaan negara berdepan ancaman luar, kita dapat lihat dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi yang sudah matang, soal keselamatan tidak dipertikai meskipun pihak dan parti politik dalam negara tersebut bersaing mendapat sokongan rakyat.

"Sebagai contoh, apabila Amerika Syarikat berperang di luar negara, kedua-dua parti politik, Republikan dan Demokrat mempunyai pendirian yang hampir sama. Mereka nyatakan dengan jelas dan terang bahawa keselamatan pasukan tentera hendaklah diberi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama anggota keselamatan di Markas Briged Utara Hulu Kinta.

Najib berkata berbeza di negara ini apabila pembangkang menganggap kejadian pencerobohan itu sebagai sandiwara dan memperlekeh kewibawaan pasukan keselamatan yang sepatutnya diberi suntikan moral.

"Mereka menidakkan semangat pasukan keselamatan dengan membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab (sedangkan hakikat) yang sebenarnya kita terhutang budi kepada mereka.

"Lebih serius daripada itu ialah persoalan masih belum terjawab apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan sulit yang dilakukan pemimpin mereka (pembangkang) dan orang-orang tertentu yang tidak senang hati dengan kedudukan Sabah yang merdeka dalam Malaysia," katanya.-rtm

Next Previous Home

0 ulasan:

Post a Comment