Gabungan Modread dan Tomok yang membentuk Manifesto nampaknya membuahkan hasil apabila mereka menyerlah di konsert ketiga Versus musim kedua yang berlangsung di Space U8 pada Jumaat. Band projek untuk Versus ini seakan mengulangi kehebatan Go Gerila yang menjadi tumpuan musim lalu.
Pusingan Battle kali ini sekali lagi membawa juara minggu lalu ke pentas iaitu Kristal. Kali ini, band yang terkenal dengan lagu 'Delaila' itu menghadapi cabaran dari Manifesto. Cubaan Kristal menggandakan kemenangan di konsert kali ini tidak kesampaian apabila permainan bassist Manifesto yang lebih dinamik menawan juri tetap. Penampilan sulung Manifesto di pusingan battle membawa tuah apabila mereka membawa pulang RM10,000.
Konsert ketiga Versus membawa kita mendengar kembali lagu-lagu malar segar generasi pop dari kumpulan-kumpulan 90 an tanahair. Setiap band diberikan dua lagu yang perlu digabungkan (mash-up) dengan baik mengikut kreativiti band masing-masing. Kristal membuka tirai dengan gabungan lagu 'Khayalan' (Ruffedge) dan 'Rindu' (Feminin). Mash-up yang cuba disampaikan Kristal nampaknya tidak menjadi kerana pada pendapat GUA ia lebih kepada persembahan 'medley' kerana lagu 'Rindu' disambung terus setelah 'Khayalan' tamat. Juri tetap juga menganggap Kristal kembali semula ke 'comfort zone' mereka sebelum ini. Penggunaan elemen dubstep juga dianggap klise dan tidak memberi sebarang kejutan dalam persembahan Kristal kali ini.
Seterusnya Estranged mengambil alih pentas menerusi lagu 'Belaian Jiwa' (Innuendo) dan 'Manisnya Senyumanmu' (Elite). Tidak dinafikan, susunan muzik Estranged segar dan menarik namun kemodenan yang ditampilkan seakan mengubah melodi sebenar lagu asal. Hasilnya, mash up mereka nampak agak kaku dan kedengaran seperti sebuah lagu yang lain. Juri tetap turut memberi cadangan Estranged berhati-hati dalam aspek susunan muzik untuk mengelakkan rencah asal lagu hilang.
Kyoto Protocol pula diberikan lagu 'Andai Kau Pergi' (Indigo) dan 'Trauma' (Elite). Sama seperti Estranged, keupayaan Kyoto Protocol dari aspek penggubahan lagu memang jelas terbukti dengan susunan muzik yang hebat. Sekali lagi, melodi asli terutamanya pada lagu 'Trauma' seakan hilang daripada yang asal. Pun begitu, GUA rasakan persembahan Kyoto Protocol wajar diberikan pujian memandangkan lagu Melayu bukanlah 'makanan' mereka.
Oh Chentaku tampil dengan lagu 'Papa Jahat' ( Fabulous Cats) dan 'Tamparan Wanita' (Elite). Pada GUA, persembahan mereka amat menepati tema dengan mengangkat dua buah lagu hits pop ini menjadi satu halwa telinga yang cukup sedap didengar. Melodi asal masih ada dan penonton dapat bersama-sama mengalunkan bait-bait lirik lagu yang disampaikan. Walaupun juri tetap memberi teguran terhadap Miyo agar dia lebih berhati-hati dalam lontaran suaranya, persembahan Oh Chentaku boleh di katakan berada pada landasan konsep persembahan yang benar. Tahniah buat Amber yang bertanggungjawab memberi gubahan menarik ke atas dua lagu tersebut.
Manifesto yang mengungguli pusingan battle di awal konsert nyata tidak menghampakan. Menggunakan 'Trump Card' mereka yang pertama, kumpulan dikir barat dari Kelantan dibawa memasuki pentas Versus. Hasilnya, Manifesto menampilkan persembahan yang memukau semua yang hadir. Elemen nusantara dan etnik kreatif disulam secara bijak ke dalam lagu 'Jangan Pisahkan' (Phyne Ballerz) dan 'Kini' (Feminin). Vokal Tomok jelas dan nyanyiannya yang sesekali diselitkan dialek Kelantan mencuri tumpuan. Penggunaan alat muzik konvensional seperti gendang dan gong juga memperlihat kebijaksanaan anak muda ini dalam berkarya. Tidak keterlaluan dikatakan, konsert ketiga Versus milik Manifesto dan band-band lain seharusnya memberikan perhatian kepada mereka yang boleh dianggap pencabar utama untuk membawa pulang hadiah utama, wang tunai RM200,000.
Konser keempat Versus minggu hadapan bakal menyaksikan band-band ini membuat persembahan menerusi tema 'Yeah Yeah Yeah' yang akan mengulit kenangan kita semua ke era kehebatan muzik pop yeh yeh. Kristal nampaknya punyai kelebihan kerana lagu pop yeh yeh boleh dikatakan kepakaran mereka. Namun, empat band yang lain pastinya tidak akan membiarkan Kristal menang mudah. Kejutan apakah lagi yang akan dipersembahkan band-band ini? Nantikan kelainannya pada jam 9 malam Jumaat depan.
Bagi yang terlepas menyaksikan konsert Versus, jangan lupa 'catch-up' kembali di portal video satu Malaysia, www.tonton.com.my. Versus dibawakan khas oleh saluran TV9 bersama radio hangat, Hot FM.
0 ulasan:
Post a Comment