“Saya ingin memperbaiki hubungan saya dengan Allah dan sesama manusia”, ujar pelantun lagu ‘Patah Seribu’, Shila Amzah ketika ditemui pada majlis kesyukuran yang diadakan di kediaman keluarganya pada Jumaat lalu.
Kenyataannya itu bukan mengulas tentang hubungannya dengan Sharnaaz Ahmad, sebaliknya mengulas tentang hajatnya untuk mengerjakan Umrah bersama keluarga.
Tambah Shila, hajat itu telah lama dibuat, tetapi kesuntukan masa menghalang dia sekeluarga untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Sejak tahun lepas memang sudah ada perancangan untuk mengerjakan umrah. Tapi saya sibuk dengan aktiviti seni dan sebagainya. Disember lalu kami sekeluarga nekad harus mencari masa untuk melaksanakan niat baik ini. Jadi kami memilih bulan Mac untuk mengerjakan umrah. InsyaAllah, kami akan berangkat ke sana pada 6 atau 7 Mac ini,” ujar Shila.
Setelah pulang daripada mengerjakan Umrah, Shila bakal sibuk dengan aktiviti seni yang telah diatur oleh syarikat pengurusannya yang terbaru, Shila Amzah Entertainment Berhad (SAEB) yang diterajui oleh bapanya sendiri, Amir Amzah Salleh atau ND Lala.
ND Lala, 52, turut berkongsi perancangan SAEB untuk mengembangkan bakat anak gadisnya itu ke peringkat antarabangsa terutama di China dan Amerika Syarikat.
“Shila akan menetap di Shanghai untuk beberapa bulan bagi mempelajari bahasa Mandarin dan memantapkan vokalnya. Di China nanti, Shila akan diuruskan oleh Shanghai Media Group (SMG) dan dia bakal merakamkan album bahasa Inggeris dan Mandarin,” ujar ND Lala.
Sudah mempunyai kelab peminat sendiri di China yang diberi nama ‘Shila Bar’, gadis berusia 23 tahun itu juga bakal mengadakan konsert jelajah Amerika Syarikat bersama artis-artis di bawah naungan SMG.
Biarpun sibuk dengan aktiviti seni di peringkat antarabangsa, Shila tidak lupa untuk menghargai peminatnya di sini. Shila bakal tampil dengan album terbaru sekitar Mei nanti.
“Album Melayu saya sudah siap 50 peratus dan mungkin akan dipasarkan sekitar bulan Mei. Walaupun sibuk di Shanghai, sekiranya ada program di Malaysia, saya pasti akan pulang,” ujar Shila.
0 ulasan:
Post a Comment